
Proses penghasilan sejarah lisan dan pendokumentasiannya memerlukan satu kaedah yang sistematik bagi memastikan sebuha hasil kajian yang bernilai sejarah dan objektif dapat direalisasikan (Syed Ismail, Pushpavali dan Meor Aris, 2016). Oleh itu, proses menjalankan kajian mengenai sudut pandang daripada staf-staf di Wisma Darul Iman mengenai Dr Ahmad Samsuri ini melibatkan beberapa langkah penting yang terbahagi kepada tiga fasa iaitu sebelum, semasa dan selepas. Fasa sebelum adalah fasa perancangan awal dan penyediaan surat manakala fasa semasa adalah proses pengumpulan sumber melalui temu ramah. Fasa selepas pula adalah fasa untuk melakukan semakan dan banding beza natara bahan bertulis dan sumber lisan seterusnya menghasilkan penulisan terhadap kajian biografi tokoh yang dijalankan.
​
Fasa perancangan awal adalah fasa yang sangat penting dalam kaedah merancang sesuatu projek sejarah lisan. Perancangan awal dapat membantu dalam menentukan tema atau topik kajian yang hendak diketahui. Pemilihan tajuk bagi sesuatu projek sejarah lisan boleh dibuat berdasarkan tokoh, peristiwa, bangunan dan tajuk-tajuk yang lain. Tema yang telah dipilih dalam menghasilkan projek sejarah lisan ialah tema tokoh dan kemudian, tokoh yang hendak dikaji tersebut ditentukan. Selepas itu, proses penyediaan surat rasmi dilakukan bagi memaklumkan kepada pihak Pejabat Menteri Besar untuk mengadakan temu janji yang merupakan elemen paling penting dalam projek lisan ini. Sebelum surat disediakan, panggilan telefon telah dilakukan bagi mengetahui info-info penting seperti nombor faks dan cara penghantaran surat.
​
Kemudian, sesi temubual dan wawancara iaitu fasa semasa dilakukan setelah semua persediaan dilakukan. Hal ini bagi memastikan proses wawancara dapat berlaku dengan lancar serta mengurangkan ralat dalam kajian. Keseluruhan proses dalam fasa ini juga dilakukan secara kualitatif dan terperinci bagi mengelakkan sebarang maklumat dan fakta penting tercicir.
​
Fasa terakhir adalah fasa untuk melakukan perbandingan dan analisis terhadap setiap dapatan daripada orang sumber dengan fakta bertulis. Perbandingan antara setiap orang sumber juga dilakukan bagi mendapatkan ketepatan maklumat yang selari atau hampir sama dengan fakta bertulis. Menurut Mohd (1974), analisis semakan dan banding beza antara orang sumber mesti dilakukan bagi mengelakkan sebarang unsur tokok tambah berlaku dalam fakta sejarah belaku. Melalui kaedah yang juga dikenali sebagai banding silang antara beberapa orang sumber, kesangsian dan syak wasangka terhadap maklumat-maklumat dalam penulisan dapat dielakkan. Setelah semua kaedah dan elemen ini dipenuhi dalam kajian ini, maka suatu bentuk penulisan sejarah yang tepat tentang biografi tokoh dapat diperolehi.